PENGENALAN
Tahukah anda nasionalisme atau faham
kebangsaan sangat penting dalam usaha pembentukan negara bangsa
dalam sesebuah negara. Umumnya hampir setiap sejarah pembentukan negara dan
bangsa di dunia ini bermula dengan gerakan perjuangan rakyat iaitu
nasionalisme. Begitu juga dengan negara kita Malaysia. Nasionalisme dan
semangat negara bangsa telah bermula di Eropah pada abad ke-18, khususnya
selepas berlaku Revolusi Perancis pada tahun 1789.
Menurut Hans Kahn, nasionalisme merupakan
gerakan untuk menciptakan masyarakat yang lebih terbuka dan untuk
mendapatkan kebahagiaan perseorangan, bagi menjamin kemerdekaan warganegara dan
membebaskan akal dan fikiran. Dengan kata lain, nasionalisme itu adalah satu
semangat.1
Oleh itu, kebudayaan seperti agama, bahasa
dan lain-lain boleh menimbulkan semangat nasionalisme. Melalui elemen-elemen tersebut
juga, dapat mewujudkan semangat yang dapat melahirkan satu identiti yang baru bagi
negara yang dijajah dan juga melahirkan perasaan bersatu padu di antara rakyat
yang dijajah.2 Nasionalisme
merupakan pemikiran dan tindakan yang menunjukkan cinta kepada bangsa dan
negara. Elemen penting yang terkandung dalam nasionalisme ialah patriotisme
iaitu perasaan cinta kepada tanah air. Nasionalisme juga merangkumi gerakan
yang dilancarkan bagi menjamin ataupun mengembalikan kebaikan golongan majoriti
iaitu selalunya rakyat bagi meruntuhkan status quo yang sekian
lama seperti gerakan revolusi yang telah berlaku dalam Revolusi Perancis. Dalam
konteks Asia Tenggara, semangat nasionalisme wujud dengan serius dalam abad
ke-20. Manakala dalam konteks orang Melayu pula, nasionalisme merujuk kepada
perjuangan mereka untuk mendapatkan kembali kedudukan unggul dalam negaranya
sendiri, iaitu sebelum kedatangan penjajahan Secara keseluruhannya, nasionalisme adalah
bertujuan untuk membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing. Namun begitu
pengertian nasionalisme dalam konteks lepas merdeka pula lebih merupakan
sebagai satu perjuangan bagi mempertahankan maruah dan
mempertinggikan martabat serta kedaulatan negara.
BENTUK DAN PERKEMBANGAN NASIONALISME
Secara umum, sarjana yang melihat
perkembangan nasionalisme di Tanah Melayu dari sudut masyarakat peribumi
(Melayu) dan masyarakat imigran. Dari sudut masyarakat peribumi, kita boleh
klasifikasikan kepada dua bentuk perkembangan ataupun gerakan iaitu gerakan
radikal (bersenjata), dan sederhana iaitu gerakan yang dijalankan melalui
pertubuhan dan desakan media massa.Walau bagaimanapun pengkelasan ini hanya
untuk memudahkan pengkaji-pengkaji menerokai perkembangan nasionalisme di Tanah
Melayu. Bagi skop dan pendekatan pelajaran ini, saya akan membahagikan
pergerakan nasionalisme kepada dua iaitu pergerakan bersenjata dan tidak bersenjata.
GERAKAN NASIONALISME BERSENJATA
Perkembangan semangat nasionalisme di
Malaysia bermula apabila orang Melayu Melaka menentang kuasa-kuasa asing yang
cuba menjajah mereka seperti kuasa Portugis dan Belanda, dan
juga di Kedah yang menentang penguasaan Siam. Terdapat beberapa yang menyebabkan
pemberontakan terhadap penjajah Inggeris, antaranya ialah faktor sosioekonomi,
agama dan adat resam, serta kepimpinan.Aspek sosioekonomi boleh dikatakan sebagai
sebab utama terhadap kewujudan rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin dan
penduduk tempatan. Ini kerana penguasaan British terhadap Tanah Melayu telah
menyebabkan wujud perubahan sosial dan ekonomi dalam
masyarakat tempatan. Pembaharuan-pembaharuan yang dijalankan oleh British tidak
diterima oleh masyarakat tempatan pada masa itu. Contohnya dalam soal
pengutipan cukai. .Dari segi kepimpinan pula, penguasaan British
di Tanah Melayu di lihat sebagai mencabar kewibawaan pembesar Melayu sebagai
pemimpin tradisi tempatan. Sikap pihak British yang mencampur tangan dalam hal
ehwal agama dan adat-adat Melayu juga telah turut menimbulkan kemarahan
masyarakat tempatan. Sehubungan dengan itu,pembesar melayu telah cuba untuk membebaskan diri
daripada cengkaman British ,Seperti pemberontakan Dol Said di Naning
(1895), peristiwa pembunuhan J.W.W. Birch (1875), pemberontakan Datuk Bahaman
di Pahang (1895), pemberontakan Tok Janggut di Pasir Putih (1915), dan
penentangan yang dilancarkan oleh Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu pada
tahun 1928.
Penentangan masyarakat tempatan terhadap pihak Inggeris
telah bermula akibat tindakan British sendiri yang disifatkan sebagai cuba
campur tangan dalam urusan pentadbiran Naning yang ditadbirkan oleh Dol Said.
Tindakan British yang cuba menghalang Penghulu Dol Said menyelesaikan kes-kes
jenayah di Naning serta penguatkuasaan undang-undang yang dilaksanakan ke atas
Melaka turut dijalankan di Naning telah menimbulkan kemarahan penduduk
tempatan. Selain itu British juga cuba menghalang hubungan yang telah sedia
wujud antara Dol Said dan Belanda. Halangan ini jelas apabila mereka cuba
menyekat Dol Said daripada menghantar hasil tahunan Naning kepada Belanda
sebagai tanda persahabatan.Akibat tindakan British ini, Dol Said telah melancarkan
pemberontakan terhadap penjajah British. Siri pemberontakan ini berlangsung
dalam tempoh dua tahun, iaitu dalam tempoh 1831 sehingga 1833. Dol Said
kemudiannya telah dikalahkan oleh tentera British dan menyerah diri pada 4
Februari 1833. 3
Rata-rata pergerakan menentang Inggeris pada
masa tersebut merupakan gerakan-gerakan kecil dan bersifat gerakan tani (peasent
movement). Contohnya, penentangan yang dilakukan oleh Tok Janggut di Pasir
Putih, Kelantan. Pemberontakan yang dipimpin oleh Haji Mat Hassan atau dikenali
sebagai Tok Janggut telah mengejutkan British apabila Tok Janggut dan
pengikut-pengikutnya bertindak membakar Pejabat Daerah, kebun-kebun, dan
kediaman milik pegawai-pegawai British. Bagi menumpaskan penentangan ini,
Penasihat British Kelantan telah meminta bantuan pasukan polis dari Singapura
dan bantuan polis tambahan. Peristiwa ini dikenali sebagai Perang Tok Janggut..Pertempuran telah berlaku di antara Tuk Janggut dan
pengikut-pengikutnya dengan tentera-tentera British. Beliau kemudiannya telah
dibunuh oleh British dan mayatnya diarak di Pasir Putih dan Kota Bharu serta
digantung di Padang Merdeka selama beberapa ketika sebelum dikebumikan di Pasir
Pekan.
4 Tindakan British terhadap mayat Tok
Janggut ini merupakan satu penghinaan besar yang telah dilakukan oleh British
ke atas umat Islam. Namun demikian, ia bermaksud untuk memberikan pengajaran
kepada orang Melayu supaya tidak menentang mereka.
Pada umumnya, dari segi gerakan-gerakan
nasionalisme awal dalam bentuk bersenjata ini dapat di lihat sebagai berbentuk
menyeluruh, iaitu berlaku di hampir kebanyakan negeri di Tanah Melayu dan juga
di Sabah.Daripada segi motif pemberontakan, kita dapat
rumuskan bahawa hampir kesemuanya mempunyai persamaan, iaitu bertujuan untuk
menghalau penjajah dan mengembalikan nilai-nilai murni dalam
kehidupan lama serta menegakkan kedaulatan dan kemerdekaan
negara.Walaupun gerakan nasionalisme peringkat awal
yang berbentuk gerakan bersenjata, namun hampir kesemuanya telah gagal mencapai
matlamat perjuangan.Kegagalan gerakan-gerakan ini adalah kerana
tidak wujud jaringan yang kukuh di kalangan penduduk di Tanah Melayu dalam menentang
penjajah. Gerakan ini hanya berbentuk setempat dan tidak menampakkan satu
bentuk gerakan massa yang berbentuk sementara dan bergerak secara
kecil-kecilan, serta boleh dikategorikan sebagai gerakan tani sahaja.Sementara itu, dalam masa yang sama,
penyatuan dari segi semangat kebangsaan di kalangan penduduk di Tanah Melayu
pada akhir tahun 1890-an dan awal tahun 1900-an sukar di laksanakan kerana
tidak wujud perpaduan dan rasa kekitaan di kalangan penduduk yang mempunyai
perasaan benci-membenci dan curiga-mencurigai antara satu sama lain.
SEMANGAT NASIONALISME BUKAN BERSENJATA
Semangat kebangsaan bukan bersenjata lebih
berupa semangat kebangsaan yang digerakkan oleh tokoh-tokoh intelektual
tempatan yang berusaha membawa perubahan pemikiran dalam masyarakat. Selain
itu, ia juga meliputi perkembangan pertubuhan-pertubuhan Melayu yang
bersifat bukan politik, Perkembangan nasionalisme ini juga lebih disebabkan
oleh pendedahan dan peluang-peluang yang diperoleh oleh masyarakat terhadap
ilmu pengetahuan dan pengalaman mereka terhadap perkembangan politik luar
negeri.bukan bersenjata ini juga turut meliputi
perkembangan pertubuhan-pertubuhan yang mempunyai kaitan langsung dengan
kaum-kaum bukan Melayu, khususnya Cina dan India sama ada yang bersifat bukan
politik mahupun politik. Corak dan perkembangan nasionalisme di kalangan mereka
juga sama dengan perkembangan nasionalisme di kalangan penduduk peribumi.
Golongan
Agama
Kesedaran nasionalisme Melayu moden di Tanah
Melayu mempunyai hubungan yang rapat dengan gerakan pembaharuan
ataupun islah Islam. Gerakan ini dipelopori oleh tokoh-tokoh seperti Syed
Jamaluddin Al-Afghani, Syeikh Muhammad Abduh, dan Rashid Ridha. Idea
pembaharuan mereka banyak dimuatkan dalam media massa seperti majalah-majalah
yang diterbitkan oleh mereka iaitu antara lainnya ialah Al-Manar dan Al-Urwatuk
Wuthqa.
Gagasan pembaharuan yang diutarakan oleh mereka telah
berjaya mempengaruhi sebilangan besar pelajar-pelajar Melayu dari Tanah Melayu
yang melanjutkan pengajian mereka di Timur Tengah seperti di Universiti
Al-Azhar. Mereka telah menubuhkan persatuan kebajikan yang dinamakan
Al Jamiah Al Khariah yang berperanan menjaga kebajikan pelajar-pelajar dan
menyatukan mereka. Kerjasama yang diwujudkan antara pelajar dari kedua-dua buah
negara ini didorong oleh persamaan-persamaan yang wujud dalam sejarah negara
dan perjuangan bangsa Melayu di Tanah Melayu dan Indonesia. Selain itu,
persamaan dari segi rumpun bangsa, agama dan bahasa serta
keturunan juga telah mengeratkan hubungan sesama pelajar.Idea reformasi (islah) yang sedang berkembang di Asia
Barat itu telah dibawa ke Tanah Melayu oleh para pelajar lepasan universiti di
Timur Tengah seperti Syeikh Mohd Tahir Jalaluddin, Haji Abas Mohammad Taha, dan
Syed Syeikh Al-Hadi. Tokoh-tokoh ini merupakan individu yang memainkan peranan
yang sangat besar dalam pergerakan nasionalisme pada zaman tersebut.Pembaharuan yang disarankan oleh golongan islah ini
banyak dimuatkan dalam akhbar-akhbar dan majalah yang diterbitkan oleh mereka.
Antara majalah dan akhbar yang telah diterbitkan ialahMajalah Al-Iman (1906)
dan Al-Ikhwan (1926) ,akhbar Idaran Zaman (1925)
dan akhbar Saudara (1928). Akhbar dan majalah ini antara
lainnya memuatkan pandangan-pandangan golongan reformis terhadap perlunya
bangsa Melayu.Di samping itu, mereka juga menanamkan cita-cita untuk
membawa bangsa Melayu dalam persaingan dengan bangsa-bangsa lain untuk
sama-sama dikenali. Contohnya dalam akhbar Chahaya Pulau Pinang menyatakan,
antara tujuan penerbitannya reka juga telah menggunakan media sebagai alat
untuk mengkritik bangsa Melayu yang masih mengamalkan adat-adat lama yang
disifatkan sebagai kolot serta bertentangan dengan ajaran Islam.Menurut akhbar tersebut, telah tiba masanya bagi
orang-orang Melayu untuk mengorak langkah kearah sesuatu yang lebih berani
untuk mendapatkan kemajuan. Mereka telah mengambil contoh bagaimana tindakan
Jepun yang telah menyerang China yang di lihat sebagai perjuangan yang cukup
berani kerana China jauh lebih besar dan kuat berbanding dengan Jepun.
Golongan reformis yang dikenali sebagai Kaum
Muda, muncul sebagai tenaga sosial yang baru yang kemudiannya telah menyebabkan
berlakunya pertentangan nilai di antara mereka dengan golongan yang sedia ada
dalam masyarakat Melayu pada masa itu, iaitu Kaum Tua. Kaum Tua merupakan
pemimpin pendapat bagi masyarakat Melayu pada masa tersebut. Kaum Muda di lihat
sebagai golongan anti-establishment dan membawakan gerakan
pembaharuan Islam. Mereka menentang pandangan dan pendapat yang dibawakan oleh
Kaum Tua. Kaum Muda telah menjadikan madrasah-madrasah sebagai pusat kegiatan
mereka, manakala Kaum Tua telah menjadikan pondok sebagai institusi
mereka
Menurut W.R. Roff, kebangkitan kesedaran diri
(self-consciousness) dan ketegasan diri (self-assertiveness) pada
dekad-dekad terakhir sebelum Perang Dunia Kedua lebih diakibatkan oleh
ancaman-ancaman terhadap hak dan kepentingan orang Melayu. Selain itu,
kelahiran gerakan ini juga berkait rapat dengan kebimbangan terhadap arus
sekularisme dan imperialisme Barat yang sedang melanda Tanah Melayu.
Dalam persoalan memartabatkan bangsa Melayu,
Kaum Muda melihat ilmu sains dan sistem pendidikan Barat lebih efisien untuk
kehidupan moden berbanding dengan sekolah-sekolah pondok yang dipelopori oleh
Kaum Tua. Pada umumnya juga sekolah-sekolah pondok
tradisional kebanyakannya menumpukan perhatian kepada pembelajaran dan
pengajaran yang bersifat penghafalan dan pengucapan semata-mata dan tidak
bersifat aplikasi. Sebagai satu platform terhadap usaha-usaha dan cita-cita
mereka dalam memajukan masyarakat Melayu pada masa itu, Kaum Muda telah
menubuhkan Pertubuhan Melayo-Muslim dan mengasaskan lebih banyak
sekolah-sekolah moden yang dikenali sebagai madrasah bagi menandingi
sekolah-sekolah aliran Inggeris. Beberapa tahun selepas itu madrasah telah
menjadi begitu popular sehingga sebahagian daripada sekolah-sekolah pondok
telah menukar nama mereka kepada madrasah.Dari segi kurikulum, madrasah telah
memperuntukkan mata pelajaran seperti Bahasa Inggeris, asas-asas matematik dan
mata pelajaran mantik (logik) serta mata pelajaran ekonomi dan perdagangan.
Pembaharuan dari segi kurikulum yang diadakan dalam sistem pendidikan yang
diajar di madrasah-madrasah pada masa itu bertujuan untuk menyaingi
sistem pendidikan di sekolah-sekolah aliran Inggeris. Di sekolah Inggeris,
tidak ada mata pelajaran ekonomi dan perdagangan tetapi terdapat mata pelajaran
simpan kira. Sebuah sekolah agama yang agak mendahului
zaman pada masa tersebut ialah Sekolah Al-Diniah di Kampung Lalang,
Sungai Rengas, Perak yang di asaskan pada tahun 1924. Ia telah
diasaskan oleh Syeikh Al-Junid yang berasal dari Sumatera. Di sekolah ini,
murid-murid didedahkan dengan mata pelajaran perdagangan bukan sahaja dari segi
teori tetapi juga dari segi praktikal. Sehubungan dengan itu, murid-murid telah
diberikan pendedahan tentang selok-belok perniagaan dengan mengadakan amali di
kedai-kedai menjual getah dan kedai-kedai runcit. Apa yang lebih menarik lagi, madrasah
ini juga telah mengadakan inisiatif ke arah melahirkan pengusaha-pengusaha
Muslim dengan mengeluarkan barangan harian seperti kicap dan sabun.8 Sementara
itu pada tahun 1929, Haji Wan Mahmud bin Haji Wan Daud iaitu salah seorang
pengasas Madrasah Muhammadiah di Kota Bharu telah menulis buku Siasah
Perniagaan. Ia merupakan tulisan yang pertama dalam bidang perdagangan yang
ditulis dalam bahasa Melayu.9
Isu kemelesetan ekonomi yang sedang dialami
oleh kebanyakan negara di dunia pada masa itu juga telah mendorong para pejuang
nasionalis Melayu untuk turut menekankan objektif perjuangan untuk memperbaiki
kedudukan ekonomi orang Melayu. Perjuangan pada peringkat ini juga banyak
menggunakan akhbar sebagai medium dalam menyampaikan idea-idea semangat kebangsaan
dan seruan ke arah kemajuan serta pembangunan. Antaranya ialah akhbar Idaran
Zaman yang pada masa itu dipimpin oleh Muhammad Yunus Abdul Hamid,
iaitu kawan rapat kepada Syed Syeikh Al-Hadi. Antara perkara yang sering
menjadi pokok perbincangan dalam akhbar ini ialah mengenai sikap masyarakat
Melayu yang dikatakan tidak mahu berusaha dan lambat berubah. Selain itu,
penulis juga mengkritik sikap masyarakat Melayu pada masa itu yang tidak mahu
merebut peluang-peluang yang ada di negara sendiri.
Golongan
Menengah Melayu
MPSI yang telah ditubuhkan pada tahun 1922,
merupakan institusi terulung atau institusi induk dalam melahirkan
pemikir-pemikir Melayu yang kemudiannya merupakan pelopor kepada gerakan
kebangsaan tanah air. Tokoh-tokoh lepasan MPSI seperti Harun Amminurashid,
Abdul Hadi Husin, Ibrahim Yaakub, Abdul Ghafar Baba, Senu Ab. Rahman, Syed
Nasir, Pak Sako, Buyong Adil, dan ramai lagi pelatih-pelatih perguruan di
maktab ini merupakan mereka yang mempunyai kesedaran yang cukup tinggi mengenai
nasib dan masa depan bangsa dan tanah air.Guru-guru dari MPSI telah mendapat banyak
idea perjuangan daripada perkembangan semangat kebangsaan yang berlaku di
Indonesia—sedang menentang penjajahan Belanda. Majalah-majalah dan buku-buku
terbitan Indonesia menjadi bahan bacaan utama mereka. Perjuangan tokoh-tokoh
pertubuhan Indonesia seperti Boedi Utomo, Sarekat Islam, Partai Komunis
Indonesia, Muhammadiah, Partai Nasional Indonesia, dan lain-lain telah
mempengaruhi pemikiran mereka. Perjuangan rakyat Indonesia dalam menentang
kuasa penjajah telah memberikan ilham kepada mereka untuk bangkit menentang
British di Tanah Melayu.Bagi mengembeleng tenaga ke arah pembentukan
semangat kebangsaan yang lebih menyeluruh dan mantap, tokoh-tokoh MPSI seperti
Zainal Abidin Ahmad, Buyong Adil, Ibrahim Yaakub dan lain-lain lagi telah
menubuhkan dua buah persatuan, iaitu
(i) (i)Ikatan
Pemuda Semenanjung (1929)
(ii) Ikatan
Semenanjung Borneo (1930)
Ikatan Semenanjung Borneo dan Ikatan Pemuda
Pelajar ditubuhkan secara sulit dan bekerjasama dengan beberapa pertubuhan
politik Indonesia seperti Partai Nasional Indonesia yang dipimpin oleh Sukarno.
Walaupun MPSI pada masa itu berada di bawah
pentadbiran pengetua O.T. Dussek, seorang pegawai British, tetapi beliau banyak
memberikan dorongan kepada pelajar-pelajar mengenai kepentingan kemajuan dan
pendidikan. Sehubungan dengan kesedaran dan rasa prihatinnya terhadap
kemunduran bangsa Melayu pada masa itu. Beliau juga telah memberikan kelonggaran
kepada guru-guru di maktab untuk mengembangkan idea-idea politik. Sehubungan
itu semangat kebangsaan di kalangan pelatih-pelatih perguruan Melayu ini telah
berkembang dengan pesatnya.Sikap O.T. Dussek itu didorong oleh hubungan
peribadi yang rapat beliau dengan guru-guru di maktab tersebut. Selain itu,
beliau sangat berminat dan cenderung terhadap kebudayaan dan bahasa Melayu.
Minat dan kecenderungan ini timbul sejak O.T. Dussek mula berkhidmat sebagai
pegawai kolonial British di negara ini. Beliau juga sangat menyedari tentang
kemunduran yang dialami oleh penduduk Melayu terutamanya dalam pendidikan.
Faktor-faktor ini menyebabkan timbul simpati beliau terhadap cabaran-cabaran
yang terpaksa dihadapi oleh bangsa Melayu.Namun begitu, perkembangan gerakan nasionalisme
di MPSI tidak berkekalan apabila kerajaan British bertindak menempatkan
tokoh-tokoh pendidik muda ke kawasan yang berlainan dan sukar untuk berhubung
antara satu sama lain. Langkah ini merupakan antara strategi penjajah yang
bimbangkan perkembangan semangat kebangsaan akan terus merebak di kalangan
cerdik pandai Melayu itu dan seterusnya dapat mempengaruhi rakyat. Ini jelas
apabila pada tahun 1927, Abdul Hadi Hasan telah ditukarkan ke Kelantan dan
diberikan jawatan sebagai Nazir. Pada tahun 1936, O.T. Dussek telah dipencenkan
dan kembali ke England, manakala pada tahun 1939, Harun Aminurrashid telah
dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Pelajaran Melayu dan ditugaskan ke Brunei.10Tokoh-tokoh MPSI telah menggunakan media
massa iaitu akhbar-akhbar seperti Warta Malaya danMajlis untuk
menyebarkan semangat nasionalisme di kalangan rakyat. Pada tahun 1938, mereka
telah menubuhkan sebuah parti politik Melayu yang pertama, iaitu Kesatuan
Melayu Muda (KMM) yang diasaskan oleh Ibrahim Yaakub. Oleh kerana parti ini
merupakan parti yang agak kuat menentang penjajah dan enggan bekerjasama dengan
Inggeris, ia dilabelkan sebagai radikal oleh kerajaan British dan dianggap
sebagai parti berhaluan kiri. Antara agenda besar yang diperjuangkan oleh KMM
ialah menuntut kemerdekaan dari Inggeris dan menubuhkan Kesatuan Malaya Raya,
iaitu menggabungkan Tanah Melayu dengan Indonesia.
Mereka terus mengadakan usaha-usaha bagi
menguatkan lagi perpaduan dan mempertingkatkan kesedaran semangat kebangsaan di
kalangan orang Melayu. Pada bulan Ogos 1939, semua persatuan Melayu telah
mengadakan Kongres Melayu di Kuala Lumpur Hasil daripada kongres ini telah
melahirkan sebuah persatuan Melayu yang bersifat kebangsaan iaitu Persatuan
Melayu SeMalaya. Ia merupakan langkah pertama dalam menyatukan semua orang
Melayu.Dalam masa dua tahun, KMM telah berkembang
dengan begitu pesat dan banyak cawangannya ditubuhkan di seluruh Tanah Melayu.
Keadaan ini telah menimbulkan kebimbangan di pihak kerajaan British. Akibatnya,
KMM telah diharamkan oleh pihak British pada tahun 1940. Selain itu, British
juga mengesyaki bahawa ahli-ahli KMM telah bekerjasama dengan Jepun. Sehubungan
itu juga pemimpin utama KMM seperti Ibrahim Yaakub dan 150 ahli KMM yang lain
telah ditangkap dan KMM di labelkan sebagai parti radikal oleh pihak berkuasa
British.
Golongan
Bangsawan Melayu
Selain MPSI, Kolej Melayu Kuala Kangsar
(MCKK) yang telah ditubuhkan pada tahun 1905 juga merupakan sebuah institusi
pendidikan yang turut memainkan peranan besar dalam perkembangan semangat
nasionalisme di Tanah Melayu. Maktab ini dibina khusus bagi menempatkan
anak-anak pembesar-pembesar Melayu di negara ini bagi menerima pendidikan. Ia
telah mengambil contoh sebuah sekolah lelaki yang terkenal di England
iaitu Sekolah Eton. Tujuan utama penubuhan maktab ini ialah sebagai sebuah
pusat untuk memberikan latihan kepada anak-anak golongan bangsawan Melayu yang
berjaya dalam pelajaran bagi mengisi jawatan-jawatan penting dalam pentadbiran
Inggeris.
Selain melahirkan tenaga birokrat Melayu yang
akan melaksanakan dasar-dasar British, MCKK juga merupakan simbol kebanggaan
bagi mereka yang menuntut di sini. Sebagai sebuah institusi pengajian yang
bersifat elit, ia telah menjadi tumpuan dan simbol status bagi
pembesar-pembesar Melayu. Dalam masa yang sama maktab ini telah berkembang
dengan baik dan telah mencapai hasrat pihak British dalam
mendapatkan tenaga pelapis Melayu bagi mengisi jawatan-jawatan
tinggi dalam pentadbiran Inggeris di negara ini. Sementara itu, pihak
penjajah Inggeris pula lebih cenderung untuk bekerjasama dengan
mereka yang di lihat oleh Inggeris sebagai mempunyai pendirian politik
beraliran sederhana. Antara tokoh penting yang mendapat pendidikan di MCKK
ialah Dato’ Onn Ja’afar, Raja Chulan Raja Abdullah dan Muhammad Eunos Abdullah.
Kumpulan ini merupakan golongan yang menyokong British dan mempunyai arah
pemikiran yang lebih terbuka dan di lihat oleh British sebagai lebih liberal,
agak sederhana dan boleh dibawa berunding.
Walaupun pergerakan mereka bersifat lebih pro
kepada British, namun mereka turut mengemukakan banyak tuntutan terhadap
kerajaan British mengenai beberapa perkara penting yang berkait dengan nasib
dan masa depan masyarakat Melayu. Antara tuntutan mereka ialah menyarankan
pihak Inggeris supaya mengambil lebih banyak langkah untuk memperbaiki taraf
hidup orang Melayu, memberikan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada orang
Melayu di dalam jabatan-jabatan kerajaan juga melanjutkan pelajaran ke
universiti-universiti termasuk ke Oxford dan Cambrigde. Selain itu, kumpulan
cerdik pandai Melayu ini juga turut mengemukakan kritikan kepada pihak penjajah
mengenai kemasukan masyarakat imigran secara berleluasa ke Tanah Melayu.
Bantahan ini adalah didorong oleh kesedaran bahawa keadaan ini akan mengancam
peluang-peluang yang sepatutnya dikecapi oleh orang Melayu. Kritikan-kritikan
terhadap pihak berkuasa pada masa ini disalurkan melalui akhbar-akhbar
seperti Warta Malaya.11
Pada tahun 1926, Kesatuan Melayu Singapura
(KMS) iaitu sebuah pertubuhan yang agak bersifat politik telah ditubuhkan oleh
Eunos Abdullah. KMS bertujuan membimbing masyarakat Melayu Singapura
untuk memajukan diri dalam lapangan politik, ekonomi, pendidikan, dan
kemasyarakatan. Tahun-tahun berikutnya terutamanya dalam lingkungan 1930-an,
memperlihatkan penubuhan beberapa parti politik Melayu yang bersifat
kenegerian. Pada tahun 1935, Kesatuan Melayu Selangor yang diasaskan oleh Raja
Sir Uda dan Tengku Ismail telah ditubuhkan. Negeri-negeri lain seperti Pahang,
Perak, Negeri Sembilan, dan lain-lain masing-masing menubuhkan parti politik.
Namun demikian, sifat parti-parti politik yang wujud pada masa ini masih kurang
jelas dan lebih menunjukkan satu pertubuhan yang bersifat elit dari segi
keanggotaannya dan tidak menyeluruh. Sebuah pertubuhan yang bersifat kebangsaan
yang julung-julung kalinya telah ditubuhkan ialah Persatuan Sahabat Pena. Pada
tahun 1939, Persatuan Sahabat Pena telah menganjurkan satu kongres di Singapura
bagi mengumpulkan seluruh tenaga politik Melayu. Beberapa persidangan susulan
telah diadakan pada tahun-tahun yang berikutnya, namun cita-cita ke arah
kewujudan satu kesatuan yang lebih mantap tidak berjaya dilaksanakan berikutan
dengan serangan Jepun ke atas Tanah Melayu pada tahun 1941. Perkembangan
setakat ini menunjukkan bahawa nasionalisme yang diperjuangkan oleh golongan
atasan Melayu lebih bersifat sederhana dan mendapat perhatian dan sokongan dari
pihak penjajah berbanding dengan perjuangan yang dibawakan oleh kumpulan
berhaluan kiri seperti KMM.
Pada keseluruhannya, perkembangan
nasionalisme sebelum Perang Dunia Kedua memperlihatkan tiga aliran yang paling
dominan, iaitu
1. Kumpulan
yang berorientasikan gagasan pembaharuan Islam—dipelopori oleh kumpulan yang
boleh dikelompokkan sebagai kumpulan elit agama.
2. Golongan
menengah Melayu berlatarbelakangkan pendidikan Melayu—membawa pemikiran politik
yang agak radikal.
3. Golongan
atasan yang berpendidikan Inggeris—mempelopori gerakan politik yang berhaluan
sederhana.
Secara umumnya, boleh dikatakan bahawa
semangat kebangsaan pada peringkat ini adalah bersifat Pan-Malayan. Ia adalah
satu pertubuhan yang mampu melengkapi orang-orang Melayu
bagi mengharungi dunia moden.
PERKEMBANGAN NASIONALISME DI ZAMAN PENDUDUKAN
JEPUN
Pendudukan Jepun selama lebih tiga tahun (1942-1945)
telah meninggalkan banyak kesan ke atas kehidupan masyarakat di Tanah Melayu.
Layanan berbeza-beza yang diberikan kepada kaum-kaum di negara ini telah
melahirkan bentuk semangat nasionalisme yang berbeza di kalangan mereka. Bagi
orang-orang Melayu, era pendudukan Jepun telah memberikan erti yang besar dalam
perkembangan semangat kebangsaan. Dalam erti kata lain, pendudukan Jepun telah
menyuburkan kesedaran orang Melayu dalam perkara ini.Faktor utama yang
mendorong kepada perkembangan ini ialah langkah Jepun yang telah
memberikan peluang kepada anak-anak Melayu menceburi dalam bidang pentadbiran
telah memberikan keyakinan kepada mereka mengenai keupayaan untuk mentadbir
tanah air sendiri. Peluang-peluang ini merupakan perkara yang tidak mereka
perolehi semasa pemerintahan Inggeris dahulu.12 Di samping itu juga, kemenangan Jepun dalam Perang
Pasifik telah menjatuhkan imej British sebagai sebuah kuasa besar dan empayar
Barat di rantau ini. Perkara ini menjadi satu propoganda yang begitu hebat
dalam meniupkan semangat kebangsaan di kalangan rakyat pada ketika itu. KMM berperanan
besar dalam membantu Jepun bagi mendapatkan maklumat mengenai Tanah Melayu
sebelum kemasukan mereka ke negara ini. Ibrahim Yaakub kemudiannya telah
dilantik sebagai ketua KMM dan diberikan jawatan penting dalam pentadbiran.Konsep Melayu Raya iaitu cuba menggabungkan Tanah Melayu
dengan Indonesia yang diperjuangkan oleh KMM juga telah menimbulkan kebimbangan
pihak Jepun. Dengan itu,jepun telah bertindak mengharamkan KMM. Tindakan ini
sangat mengecewakan pejuang-pejuang Melayu yang selama ini kagum dan menyokong
Jepun. Ia juga sebenarnya telah menampakkan niat Jepun yang sebenarnya bahawa
mereka tidak jujur terhadap orang-orang Melayu yang menyokong mereka
selama ini. Pejuang Melayu pada masa itu juga mula sedar bahawa mereka tersilap
langkah kerana penyokong Jepun.Perkembangan semangat kebangsaan kaum Cina
dan India sebelum perang lebih banyak tertumpu kepada suasana politik di tanah
asal mereka. Bagi masyarakat Cina, perkembangan faham komunis di negara China
telah turut mencorakkan arah semangat kebangsaan mereka di negara ini. Namun
demikian, pada peringkat awal mereka kurang berminat untuk bergiat cergas dalam
perkembangan politik tempatan ketika itu kerana motif utama
penghijrahan mereka ke negara ini ialah atas kepentingan ekonomi. Selain itu,
kumpulan imigran ini tidak bercadang untuk menetap di Tanah Melayu.Namun demikian, perkembangan politik
masyarakat Cina memperlihatkan minat mereka terhadap faham komunis semakin
meluas. Fenomena ini disebabkan oleh hubungan yang kuat di antara mereka dengan
negara asal mereka iaitu China. Ini telah mendatang kesulitan kepada
pentadbiran British apabila mereka enggan patuh kepada institusi tempatan
dengan menubuhkan kongsi-kongsi gelap dan parti-parti politik seperti
Kuomintang dan Parti Komunis yang sealiran dengan perkembangan politik di China
sendiri.Fahaman komunis di Tanah Melayu telah
terbentuk hasil daripada pengaruh secara langsung dari Parti Komunis China
(Communist Party of China – CPC) dan mendapat arahan dari Biro Komunis Antarabangsa
Bagi Timur Jauh (Comintern). Fahaman komunis di Tanah Melayu bergerak selari
dengan Parti Komunis China. Ia bermula sejak tahun 1923 dan
disebarkan di sekolah-sekolah Cina di Tanah Melayu. Mulai tahun
1926, usaha-usaha untuk menyusun organisasi komunis telah dijalankan oleh
masyarakat Cina di Tanah Melayu. Peranan ini dimainkan oleh Main School (Sekolah
Utama) yang ditubuhkan di sekitar tahun-tahun 1926 hingga 1927—merupakan badan
eksekutif terpenting dalam perkembangan ideologi komunis
di Tanah Melayu.
Sambutan yang diberikan oleh masyarakat Cina
terhadap ideologi komunis antara lain menunjukkan semangat
kenegerian mereka terhadap negara asal iaitu China. Pada bulan Mac 1930, Parti
Komunis Malaya telah ditubuhkan hasil gabungan daripada dua pertubuhan Cina
yang terkenal di Tanah Melayu, iaitu Parti Komunis Nanyang dan
Kesatuan Sekerja Nanyang (Nanyang General Labour Union). Sehubungan itu,
perkembangan parti komunis di Tanah Melayu telah dikendalikan secara
langsung oleh Comintern dan bukan lagi oleh China.14
Sokongan yang kuat yang diberikan oleh
masyarakat Cina terhadap PKM ialah kerana didorong oleh rasa tidak
puas hati mereka terhadap kerajaan pada masa itu. Dalam soal ini juga
masyarakat Cina sering beranggapan bahawa mereka perlu mendapat peluang lebih
daripada apa yang mereka telah perolehi. Oleh yang demikian, mereka
mengharapkan akan mendapat lebih keutamaan sekiranya PKM memerintah negara ini.
Bagi memperkemaskan lagi jentera
organisasi, pada 30 April 1930, Parti Komunis Malaya (PKM) telah
ditubuhkan. Antara cita-cita besar PKM ialah menegakkan sebuah Kerajaan
Republik Soviet Malaya hasil koordinasi proletar dan petani. PKM kemudiannya
telah melancarkan pemberontakan bersenjata berikutan
dengan penolakan British terhadap Perlembagaan Rakyat yang
dikemukakan oleh barisan parti politik kiri yang diwakili oleh All
Malayan Council of Joint Action (AMCJA) dan Pusat Tenaga Rakyat
(PUTERA) yang di dalangi oleh PKM.
Peristiwa Darurat 1948 merupakan titik tolak
penting dalam perkembangan politik masyarakat Cina di Tanah Melayu. Peristiwa
itu dan perkembangan ideologi komunis di Tanah Melayu berkait secara langsung
dengan soal perkauman. Bagi mengatasi masalah ini, Jawatan Kuasa
Perhubungan Kaum telah ditubuhkan. Bagi mengalihkan tumpuan dan sokongan
masyarakat Cina terhadap PKM yang disifatkan sebagai parti orang Cina, British
telah menggalakkan pemimpin-pemimpin Cina menubuhkan parti politik Cina yang
sah. Pada bulan Februari 1949, Malayan Chinese Association (MCA) telah
ditubuhkan dan diketuai oleh Tan Cheng Lock. MCA merupakan sebuah parti
alternatif bagi orang Cina bagi mengurangkan sokongan masyarakat ini terhadap
PKM. Manakala bagi pihak orang Cina pula, ia satu saluran bagi mengemukakan
tuntutan dan kepentingan mereka terhadap British.
Bagi masyarakat India pula, pola perkembangan semangat
nasionalisme mereka juga mirip kepada perkembangan semangat nasionalisme
orang-orang Cina, iaitu mengikut arus dan pergerakan politik di negara asal
mereka iaitu India. Gerakan-gerakan dan perjuangan menuntut kemerdekaan oleh
pemimpin-pemimpin mereka seperti Mahatma Ghandhi telah banyak mempengaruhi
pemikiran masyarakat India di Tanah Melayu terutamanya mereka yang agak
berpelajaran.
Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu
mereka telah menubuhkan Indian National Army (INA) hasil daripada
pakatan dan kerjasama Jepun dengan Subhas Chandra Bose. Pihak Jepun
juga telah membenarkan Tanah Melayu dijadikan pusat gerakan bagi INA.15 Kerjasama
ini lebih berupa sokongan kuat Jepun terhadap rakyat India untuk membebaskan
negara mereka daripada penjajahan British. Sehubungan dengan itu, pihak Jepun
telah mengeksploitasi dan memperalatkan pemimpin-pemimpin India
untuk bekerjasama dengan mereka. Subhas Chandra Bose iaitu pemimpin kaum India
di Tanah Melayu telah melaungkan slogan kebebasan untuk semua terutama kepada
buruh-buruh yang tertindas dan menekankan bahawa tujuan utama gerakan INA
adalah untuk membebaskan India daripada penjajahan British. Beliau mencadangkan
pemakaian cogankata “Chalo Delhi” (Pergi ke Delhi) untuk menaikkan
semangat nasionalisme di kalangan buruh India. Bagi mencapai matlamat
perjuangan, INA dengan kerjasama Indian Independence Leagua telah membentuk
kerajaan sementara. Di samping itu, sukarelawan INA telah mencapai jumlah
16,000 orang. Beberapa usaha lain juga diadakan seperti penubuhan pasukan
tentera wanita India iaitu The Rani of Jhenshi.16
Setelah tamat Perang Dunia Kedua, kaum India
terus memperjuangkan kepentingan politik mereka selari dengan perkembangan
politik di India yang sedang menuntut kemerdekaan dari British. Perjuangan
mereka di Tanah Melayu antara lain bermatlamatkan kemenangan bagi perjuangan
kebangsaan di India dan menjaga kepentingan masyarakat India di Tanah Melayu.
Di samping itu, mereka juga turut bersama-sama memperjuangkan kepentingan
politik dengan kaum-kaum lain di negara ini. Bagi memantapkan lagi perjuangan
mereka serta sokongan dan dorongan daripada pemimpin-pemimpin di India sendiri,
pada bulan Ogos 1949, Kongres India Tanah Melayu atau Malayan Indian Congress
(MIC) telah ditubuhkan. John A. Thivy telah dilantik sebagai Yang
Dipertua Kongres yang pertama.
PENUBUHAN PARTI PERTUBUHAN MELAYU BERSATU
(UMNO)
Berbalik kepada perkembangan semangat
nasionalisme orang Melayu, aspirasi untuk mencapai kemerdekaan terus bersemarak
apabila British kembali memerintah Tanah Melayu apabila tamat Perang Dunia
Kedua. Penyatuan seluruh orang Melayu dalam semangat kebangsaan buat pertama
kalinya telah terbentuk berikutan dengan langkah British mengemukakan cadangan
Malayan Union pada tahun 1945.
0poooiooi
Walaupun orang Melayu menentang Malayan Union
sejak dari awal lagi namun, pada peringkat permulaannya usaha mereka tidak
begitu padu. Sehubungan itu beberapa pandangan telah dikemukakan dalam akhbar-akhbar
supaya masyarakat Melayu bergabung tenaga agar penentangan tersebut lebih
berkesan. Pada 1 Mac 1946, satu persidangan bagi pertubuhan Melayu telah
diadakan di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru. Persidangan yang berlangsung
selama tiga hari ini dihadiri oleh semua persatuan di tanah air
termasuklah Persatuan Orang Asli. Wakil-wakil persatuan ke persidangan ini
akhirnya bersetuju menggabungkan semua persatuan ke dalam satu badan induk yang
dinamakan sebagai Kongres Melayu Se-Malaya yang dipengerusikan oleh Dato’ Onn
bin Jaafar. Kongres ini juga telah mengambil kata putus untuk menubuhkan sebuah
parti politik Melayu. Pada 11 Mei 1946, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu
atau ringkasnya PEKEMBAR telah ditubuhkan. Ia dikenali sebagai UMNO iaitu ringkasan
daripada terjemahan pertubuhan tersebut dalam bahasa Inggeris—United Malays
National Organisation.17
KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, semangat nasionalisme
di Tanah Melayu agak perlahan berbanding dengan negara-negara lain di Asia
Tenggara. Ini kerana keadaan penduduk di negara ini yang pelbagai bangsa,
agama, dan adat resam. Faktor tersebut telah menyebabkan proses pembentukan dan
penyatuan kesedaran politik lambat berlaku. Dinamika nasionalisme di negara
kita bergerak ke arah yang lebih mantap dan tersusun berikutan dengan wujudnya
badan politik seperti KMM yang mempunyai jaringan yang agak kuat dengan
pergerakan nasionalisme luar negeri. Walaupun KMM telah mendapat
sokongan yang agak besar daripada kalangan cerdik pandai Melayu,
namun parti ini tidak mampu bertahan lama akibat tekanan yang diberikan oleh
pihak berkuasa British. Perkembangan nasionalisma di negara kita memperlihatkan
UMNO telah berjaya menyatukan orang Melayu dan terus kekal
berpanjangan hasil daripada bentuk perjuangan mereka yang lebih
sederhana dan sedia bekerjasama dengan Inggeris dan parti-parti bukan Melayu.
Secara umum, dapat disimpulkan bahawa nasionalisme merupakan satu proses yang
perlu dilalui oleh setiap bangsa dalam usaha untuk membentuk dan memperkukuhkan
identiti mereka sebagai sebuah negara dan bangsa yang bebas merdeka. Perkara
ini perlu dihayati untuk membolehkan kita menghargai segala pergorbanan
generasi terdahulu. Kita kini mungkin telah bahagia tetapi kita sering lupa
bagai manakah segala kebahagiaan yang kita nikmati hari ini bermula.
No comments:
Post a Comment